Syair Jejawi Meninggi dan Memberkati (Mengingati Pemergian Mohd Latiff Mohd)

Inilah tuan saudara saudari
Terlafaz niat mahu mengingati
Pemergian sasterawan yang kami cintai
Mohd Latiff Mohd guru yang kami sayangi

Guru sasterawan jasanya gemilang
Dalam berkarya handal bertukang
Beliau bercerita pesan membilang
Sastera tanahair menjadi cemerlang

Cikgu Latiff sapaan terhormat
Orangnya manis senyumnya cermat
Bicaranya tegas tapi berhemat
Fikiran panjang memikirkan yang berat

Tersusun karya terilham sudah
Beliau menulis di pelbagai wadah
Dari prosa puisi, pojok dan ceramah
Beliau bergiat didekati pun mudah

Siapa yang mendekat akan terkagum
Betapa fikirannya masak dan ranum
Kupasannya yang sudah dan yang belum
Itulah menjadikan karyanya harum

Ratusan puisi terilham cantik
Dalam barisannya yang mudah dipetik
Seperti “Tekad” ciptaan terbaik
Sudah terdendang lagikan menarik

Begitulah mengalir Kota Air Mata
Novelet sedih yang miskin merana
Latiff pencerita membuka dada
Mengajak kita insaf adanya

Ani dan Adi watak berulang
Siapa yang membaca dapat membilang
Kekuatan Latiff mengait bersilang
Menjadikan karya rentetan bergemang

Batas Langit novel termasyhur
Padat ceritanya terolah jujur
Kalau betul dinilai diukur
Inilah karyanya terbaik dianjur

Dalam cerita dimulai begini
Jejawi pepohon tegap berdiri
Tempat bermain pada si Adi
Tempat mengadu digundah sunyi

Jejawi terpilih lambang bermakna
Pohon keramat meneduh segala
Laksana hidup kalau bernama
Kemanusiaan berpeduli wajib dijaga

Banyak pemerhatian menjadi ilham
Di tangan Latiff dapat terakam
Melayu Singapura faham digengam
Karyanya hidup mudah difaham

Melayu Baru dan Penyairku
Antara puisi mengusik kalbu
Kadang dibaca jadi terharu
Pastinya terhirup semangat baharu

Kemunduran kemiskinan sangat dipeduli
Nasib perempuan sama diapungi
Mak Timah ibu cekal kita kenali
Terhimpit hidup bersegi-segi

Begitulah nasib si gadis Ani
Sedih riwayat hidup diakhiri
Latiff melukis dengan berperi
Keadaan hidup di kota ini

Inilah penyair sulamannya halus
Puisinya cekal terbanyak bagus
Bagaikan ilhamnya tiadakan putus
Membawa kita ke ranah tulus

Rendra dan Usman menjadi panutan
Pada Pramoedya beliau kaguman
Sasterawan besar beliau tabik-tabikan
Inilah jiwa tokoh berteladan

Tak kurang singgung yang menyambung
Seruan penyair bergema menggulung
Pada maruah dijaga dan ditanggung
Jangan dibenarkan dicampak digantung

Rakyat kecil bangsa marhaein
Nasib mereka harus kita prihatin
Soal hidup bukan soal main
Keadilan sejahtera sayugia dijamin

Cikgu Latiff menegas berulang
Kemanusiaan harus jadi penimbang
Cinta insan bukan setakat lambang
Melainkan kerja harus bergalang

Pada bahasa nilai berharga
Itulah dibangun santun dijaga
Dengan bahasa ilmu diharga
Dengan ilmu bangsa berdaya

Kerap juga diusul dan diaju
Pendidikan sastera terus dimaju
Kebudayaan besar dapat diteraju
Kalau sasterawan ilmu dipandu

Begitulah guru nan penyair besar
Yang menitipkan karya memekar
Taman sastera kuat mengakar
Jejawi menghidup menyeri membugar

Itulah jasa penyair dan guru
Cikgu Latiff dalam kenangan selalu
Pemergian almarhum sangat terharu
Rasanya bermesra baru saja berlalu

Jejawi pepohon tegap menghijau
Banyak hidupan bersinggah-singgah
Mengenang Cikgu mesra bergurau
Kasihnya peduli tegurnya bergegah

Banyak hidupan bersinggah-singgah
Itulah pohon bertumpang kasih
Tabik ke guru semangat tak gugah
Menjadi teladan sepanjang masih

Itulah pohon bertumpang kasih
Pandai pujangga melukis cerita
Pada Cikgu sematan kasih
Karyanya tetap terbaca di dada.

Ya Tuhan Cucuri Rahmat KeabadianMu
Kepada guru yang kami rindu.

Titipan khas dari muridmu,
Azhar Ibrahim Alwee
Di tanggal duka 13 Oktober 2022
Singapura, Kota Mu.