Setiap kali kita memperkatakan atau membicarakan tentang bahasa, yang sering menjadi fokus ialah perkara-perkara berkaitan nahu, sebutan baku, struktur tatabahasa, laras kata, loghat dan sebagainya, yang secara dasarnya semua bersifat teknikal. Jarang sekali dimasukkan ke dalam pembicaraan kita itu isu-isu berkaitan kuasa dan pemberdayaan, sedangkan ketiga-tiga perkara ini sangat berkait rapat, terutama sekali apabila kita memikirkan peranan bahasa dalam transformasi sosial.

Perlu dijelaskan bahawa yang ingin dipermasalahkan bukan perkara-perkara teknikal berkaitan bahasa itu sendiri, tetapi obsesi terhadap perkara-perkara tersebut sehingga ianya menjadi sesuatu yang dominan di sfera publik, sehinggakan isu-isu yang substantif dipinggirkan dan jarang atau tidak langsung diberi penekanan.

Sebenarnya persoalan bahasa dan pemberdayaan ini bukanlah sesuatu yang baru. Azhar Ibrahim, dalam buku beliau Bahasa dan Tantangan Intelektualisme (2014) sudah pun membahaskannya enam tahun yang lalu. Di situ ada satu bab yang membicarakan secara terperinci berkenaan Bahasa Melayu dan Pemberdayaan yang akan diulaskan dalam beberapa perenggan berikut.

Sebagai permulaan, bahasa tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai alat komunikasi, dikosongkan dari fungsi sosial, politik dan kemanusiaan. Bahasa membayangkan realiti sosial sebuah masyarakat, dan pada masa yang sama bahasa juga membantu mencorakkan realiti sosial tersebut. Jadi kedua-duanya saling berkait rapat. Misalnya, jika bahasa yang lazim digunakan bersifat patriarkis, ia membayangkan, pada masa yang sama mencorakkan, realiti sosial masyarakat tersebut.

Oleh itu perlu kita membangunkan bahasa yang dapat menyanggah budaya patriarkis, yang dapat menentang kuasa tiranik, yang dapat mempersoalkan ketidakadilan sosial, bahasa yang membebaskan masyarakat dari belenggu otoritarianisme dan ketidakmanusiaan serta struktur yang menindas; yakni kita perlu membangunkan bahasa yang memberdayakan, bukan bahasa yang memperdayakan.

Dalam kita memperkatakan tentang pemberdayaan, bukan kesejahteraan dari segi material yang kita maksudkan, atau setakat pemberian habuan atau bantuan dalam bentuk pakej atau program yang boleh sahaja difikirkan oleh golongan teknokrat dan birokrat demi memenuhi KPI masing-masing. Yang dimaksudkan dengan pemberdayaan di sini ialah mengiktiraf dan memberikan suara, kuasa, semangat dan keyakinan serta harga diri kepada individu dan golongan tertentu dalam menghadapi dan mengharungi segala cabaran hidup; menyediakan sumber daya, kesempatan dan pengetahuan dalam rangka meningkatkan kemampuan warga miskin serta golongan yang selama ini dipinggirkan, untuk menentukan masa depan mereka sendiri dan berpartisipasi dalam kehidupan masyarakat.

Ianya juga bukan setakat seruan dari luar, tetapi memerlukan respons serta dorongan dari dalam diri seseorang itu. Pemberdayaan bermula dengan kesedaran (consciousness) akan lingkungan, iaitu kesedaran terhadap struktur sosial serta susunan masyarakat yang terus menindas, langsung kepada memikirkan sebab musabab akan masalah yang dihadapi, menghuraikannya dan menyarankan jalan keluar.

Pemberdayaan golongan yang lemah dan tertindas itu amat penting sekali kerana seringkali mereka sendiri tidak sedar akan situasi di mana mereka itu sebenarnya ditindas. Ketidakpedulian kita terhadap masalah ini merupakan pengkhianatan dan keganasan yang amat dahsyat terhadap golongan tersebut, di mana kita semua terlibat sama dalam pembiakan ketidaksamaan dalam masyarakat. Disebut oleh pemikir Perancis, Pierre Bourdieu, sebagai keganasan simbolik, ianya merupakan keganasan secara halus yang tidak dapat dilihat, yang menjurus kepada golongan miskin itu sendiri memainkan peranan dalam pembiakan sikap taat pada kuasa. Ini dilakukan melalui internalisasi dan penerimaan tanpa soal idea-idea serta struktur-struktur yang menghambat kemajuan mereka.

Dalam usaha kita menangani pembiakan ketidaksamaan dan ketidakadilan, pembangunan kesedaran kritis itu amat penting sekali guna melihat, menyanggah dan melawan keganasan sedemikian. Untuk mereka bangkit melepaskan diri dari keadaan dan kebelengguan ini, golongan kelas bawahan (underclass) harus mula disedarkan, kemudian disarankan jalan keluar. Antara jalan keluar terpenting ialah mendedahkan kepada mereka wacana dan pemikiran kritis melalui bahasa yang bergaya dan bernada emansipatoris.

Di sini ada beberapa contoh pemberdayan sosial yang boleh diberikan. Antaranya kesedaran golongan kelas bawahan bahawa subsidi dari pemerintah adalah sebahagian hak mereka daripada agihan belanjawan negara, dan bukan pula ‘habuan’ atau ‘bantuan’ – bahasa yang memperdayakan – daripada parti pemerintah; kebebasan pelajar untuk mempersoalkan ketidakadilan dan penindasan dalam masyarakat tanpa rasa takut dilabel sebagai ‘masuk politik’ atau lebih teruk lagi dicap Marxist; kesedaran para pekerja buruh akan kepentingan suara kesatuan sekerja mereka menjaga kebajikan dan menyuarakan hak pekerja, juga kesedaran bahawa ianya bukan suatu kegiatan subversif melainkan sebagai benteng eksploitasi pihak majikan.

Sepertimana disebutkan Azhar Ibrahim dalam bukunya, ianya merupakan hegemoni kuasa dan ideologi dalam bahasa, sehinggakan rakyat tidak lagi dapat memahami makna yang seharusnya dikaitkan dengan sesuatu perkataan atau konsep. Seperti contoh yang telah diberikan, makna subsidi yang telah diputarbelitkan oleh pihak penguasa sebagai satu favour.

Usaha pemberdayaan di kalangan golongan miskin dan tertindas merupakan tanggungjawab moral kita bersama. Yang penting sekali kita harus pastikan tiadanya sikap penggantungan pihak yang lemah kepada golongan yang mempunyai sumber dan kuasa. Kita perlu memecahkan sikap tersebut, kerana di situlah punca penindasan dan keterbelengguan mereka.

Jangan pula kita sewenang-wenangnya menuding jari mempersalahkan mereka (blaming the victims) atas keperitan dan himpitan sosio-ekonomi yang mereka hadapi, melalui bahasa yang memperdayakan seperti “masa depan kita bergantung pada diri kita sendiri”, atau “kalau orang lain boleh buat, kita pun boleh”, atau juga “jangan tunggu, rebut peluang kerja yang ada”, tanpa menghiraukan situasi atau kondisi sosial yang sedang mereka hadapi. Cara pandang sedemikian tentunya sangat bermasalah, oleh kerana ianya merupakan satu pendayaan (delusion) terhadap golongan kelas bawahan, seperti yang dikatakan Henry Giroux, bahawa mereka harus “memikul beban takdir mereka sendiri, meskipun kuasa-kuasa yang membentuk nasib mereka melampaui ruang lingkup tingkah laku masing-masing.”

Dalam rangka pemberdayaan dan transformasi sosial, potensi bahasa perlu dimaksimumkan agar ianya menjadi wadah penggerak kepada bangkitnya kesedaran kritis (critical consciousness) dalam menghadapi cabaran semasa dan menangani segala masalah hidup.

Pada masa yang sama juga kita perlu merungkai rintangan dan hambatan yang menghalang dan membantutkan keberlangsungan bahasa Melayu sebagai wadah untuk menjadi bahasa utama dalam pemberdayaan sosial. Ini termasuk tirani ideologi-ideologi bahasa seperti feudalisme bahasa, retorika nasionalisme bahasa, formalisme bahasa, konformiti dan konservatisme bahasa serta utopianisme dan romantisisme bahasa.

Konservatisme bahasa, misalnya, menyekat perluasan bahasa yang kreatif dan kritis buat menangani soal kondisi kehidupan yang nyata dan membumi. Ianya menjurus kepada fenomena ‘hamba kepada bahasa’ yang pernah disebutkan oleh Syed Hussein Alatas, di mana bahasa tidak lagi menjadi alat yang membantu hidup manusia, tetapi belenggu yang menghalang kemajuan. Contoh yang diberikan Alatas berkaitan istilah ‘structure’, di mana jika dihuraikan melalui istilah yang sudah sedia ada, misalnya bentuk, corak atau rangka, akan menyekat perbahasan lantas membataskan pemahaman terhadap masalah struktur dalam masyarakat. Akibatnya setiap kali dibicarakan hal-hal atau sebab musabab berkaitan kemunduran masyarakat, yang dipermasalahkan bukan struktur, tetapi minda atau ‘mindset problem’ yang sering dan sangat suka digunakan ahli-ahli politik kita.

Satu lagi contoh yang boleh dibicarakan di sini berkaitan istilah ‘feminis’ atau ‘feminisme’ yang sering dikatakan telah dibawa masuk dari pemikiran Barat. Sama juga dengan istilah ‘patriarki’ atau ‘patriarkalisme’. Namun, dalam pemikiran Islam seawal abad ke-19 sudah ada tulisan-tulisan yang membicarakan konsep-konsep tersebut seperti contoh tulisan Qasim Amin dalam bukunya Tahrir Al-Mar’a (The Liberation of Women) yang diterbitkan pada tahun 1899. Namun persoalannya, mengapa ianya tidak termasuk dalam wacana keagamaan kita dalam bahasa Melayu pada hari ini? Di antara sebabnya ialah sikap puritan kelompok konservatif yang sentiasa memastikan wacana Islam itu dipelihara dan tidak dicemari oleh gagasan kelompok progresif atau yang sering dicap sebagai kelompok liberal.

Akibatnya tersebar pemikiran dangkal di kalangan masyarakat, seperti yang dapat kita lihat dari satu kiriman di akhbar beberapa tahun lalu yang bertajuk ‘Cara urus isteri degil’ (Berita Harian, 13 Oktober 2017). Isi kandungan makalah tersebut, dari segi soalan yang dituju, jawapan yang diberi serta hakikat bahawa perkara sedangkal itu boleh diterbitkan dalam satu-satunya akhbar harian Melayu di sini merupakan satu penjahanaman masyarakat. Sebuah akhbar mempunyai daya pengaruh besar dalam membangun minda dan pemikiran masyarakat. Oleh itu amat penting makalah-makalah yang diterbitkan menggunakan bahasa yang membawa kepada pencerahan, bukan menjurus kepada kedangkalan.

Juga isu hangat OKLETSGO baru-baru ini yang telah membelahi masyarakat Melayu Singapura kepada dua kelompok. Satu pihak merasakan bahasa yang digunakan para pengasas podcast tersebut menghina kaum wanita, manakala yang satu pihak lagi merasakan tidak sama sekali. Inilah masalahnya apabila bahasa yang progresif tidak dilazimkan, yang menjadi dominan dalam masyarakat merupakan bahasa yang mendangkalkan dan membebalkan, iaitu bahasa yang menindas.

Bahasa yang memperdayakan juga sering digunakan oleh para pendukung ideologi pemikiran positif (positive thinking). Ianya sering digendangkan golongan elit, menyuruh golongan miskin supaya sentiasa bersikap positif, terus yakin, bertawakkal dan redha. Jangan bertanya ‘mengapa’ tapi harus menyatakan ‘mengapa tidak’. Oleh itu golongan miskin tidak seharusnya bertanya atau mempersoalkan mengapa mereka miskin, sebaliknya mengapa tidak mereka bersikap positif lalu lakukan apa yang terbaik dari situasi mereka itu.

Demikianlah caranya bagaimana ideologi pemikiran positif ini secara efektif menyekat potensi revolusioner dari persoalan radikal ‘mengapa?’ dan menggantikannya dengan pernyataan retorik ‘mengapa tidak’ yang pada akhirnya itu hanya mempertahankan status quo. Manakala soalan ‘mengapa?’ itu menembusi permukaan suatu masalah demi memahami dan memikirkan sebab musabab di balik mekanisme sistem dan struktur serta susunan sosio-ekonomi masyarakat, pernyataan ‘mengapa tidak’ itu sekadar mengkaburkan dan berpura-pura seolah-olah semuanya beres tanpa masalah. Yang penting, kita harus selalu fikirkan D.U.I.T. iaitu DOA, USAHA, IKHTIAR, TAWAKKAL. Yang akhir ini merupakan satu pemerkosaan agama oleh para pendukung kapitalisme dan neo-liberalisme, dengan menggunakan bahasa yang bersifat akuisitif lagi memperdayakan.

Selain golongan underclass, kita juga harus memikirkan tentang pemberdayaan golongan lain yang sering dipinggirkan, seperti kanak-kanak dan juga golongan remaja. Pelbagai istilah dan konsep yang boleh diceduk dari wacana progresif berkaitan keibubapaan buat memperluas korpus bahasa Melayu. Seperti contoh konsep reflective rebelliousness yang pernah diajukan Alfie Kohn (2016), iaitu melawan secara berfikir. Ianya satu konsep yang baik untuk dibicarakan, bagaimana golongan ibu bapa serta pendidik dapat membantu anak-anak menyalurkan sikap rebelnya itu kepada sesuatu yang membina daripada menjurus kepada sesuatu yang merosakkan. Oleh kerana masyarakat kita, terutama sekali di kalangan para ibu bapa, masih belum atau kurang didedahkan kepada pemikiran Vygotsky, Piaget dan juga Erikson, bilamana anak-anak memberontak atau menunjukkan sikap suka berlawan, yang menjadi rujukan utama mereka ialah ustaz yang diseru untuk membacakan air jampi supaya dikeluarkan jin dari badan anak tersebut.

Satu lagi konsep yang menarik dan baik untuk dimasukkan dalam pemikiran kita ialah ‘childism’ yang telah dibahaskan oleh Elisabeth Young-Bruehl (2012), iaitu sikap prejudis masyarakat terhadap kanak-kanak. Ianya berdasarkan kepercayaan bahawa kanak-kanak merupakan hak milik orang dewasa, seumpama harta benda, haiwan peliharaan ataupun hamba sahaya. Oleh itu orang dewasa mempunyai kuasa mutlak terhadap kanak-kanak di mana mereka boleh dan harus dikawal, dikuasai serta diperhambakan buat kegunaan orang dewasa. Ini dapat kita lihat dalam pepatah yang lazim digunakan, iaitu “sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak pukul-pukulkan”. Akibatnya, ramai kanak-kanak dizalimi dan dikhianati, sama ada oleh penjaga mahupun ibu bapa mereka sendiri. Ramai yang menjadi mangsa penderaan, yang terus merana dalam kesepian, disebabkan sikap prejudis childism.

Dalam usaha kita memberdayakan golongan kelas pekerja pula, perlu kita memikir-ulang isu-isu berkaitan kepimpinan, seperti konsep followership, yang selama ini menguasai hidup kita dan juga di merata institusi serta organisasi, tapi tidak pula pemikiran kita, oleh kerana selama ini kita hanya sibuk memikirkan dan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kepimpinan. Ini yang membuat kita kurang memikirkan tentang sifat dan betapa pentingnya seorang pengikut itu.

Di dalam buku beliau Konsep Wira dalam Masyarakat Melayu (1993), Shaharuddin Maarof telah mengkaji beberapa tokoh dalam dunia Melayu dengan tujuan menentukan nilai-nilai dan idealisme para pemuja atau pengikut mereka. Ianya merupakan tulisan yang pertama kali dalam dunia pemikiran Melayu yang berteraskan konsep followership. Namun sayang sekali wacana tersebut tidak dibangunkan oleh kerana pemikiran dominan yang berfokus kepada hal-hal kepimpinan. Meskipun perlu untuk dibicarakan, namun penekanan yang diberikan itu tidak seimbang. Wacana kepimpinan yang dominan pula bukannya sesuatu yang kritis, jarang membincangkan dan mengkritik sifat kepimpinan yang toksik, yang jenisnya menindas dan terus menekan, menyebabkan ramai jiwa yang tertekan. Berkaitan hal ini perlu kita bicara dan mempermasalahkan sikap patuh dan taat kepada pemimpin.

Kesantunan bahasa tidak seharusnya menjurus kepada sikap kepatuhan atau penghambaan yang pada dasarnya bersifat feudal. Sebaliknya keingkaran boleh sahaja diungkapkan secara santun. Ada baiknya kita renungkan kata-kata Usman Awang di penghujung sajaknya yang sering dipetik, iaitu “suatu bangsa tidak menjadi besar, tanpa memiliki sifat kurang ajar”. Untuk menjadi manusia kurang ajar, perlu dibangun bahasa yang bersifat kurang ajar. Bukan yang lucah mahupan celupar, tetapi bahasa yang kurang ajar terhadap kuasa, yang kurang ajar terhadap otoritarianisme, terhadap ketidakmanusiaan dan penindasan, terhadap penjahanaman budaya dan kedangkalan pemikiran disebabkan bebalisme golongan elit, golongan agamawan dan pemimpin politik serta terhadap ideologi-ideologi bahasa yang sempit lagi menghimpit.

Seperti yang dikatakan sejarawan dan pemikir sosialis Howard Zinn, “masalah kita adalah kepatuhan awam (civil obedience). Masalah kita ialah, manusia di merata dunia terus mematuhi segala arahan para pemimpin. Disebabkan kepatuhan ini, berjuta yang telah menjadi korban. Masalah kita ialah, manusia di seluruh dunia terus patuh sedang mereka menghadapi kemiskinan, kebuluran, kebebalan, peperangan dan kezaliman. Masalah kita ialah, manusia terus patuh sedang penjara dipenuhi perompak-perompak kecil manakala perompak-perompak besar mentadbir negara. Itulah masalah kita.”

Oleh itu, dalam usaha pemberdayaan manusia, terutama sekali di kalangan golongan miskin, yang terpinggir dan tertindas, penting untuk dibangunkan bahasa yang memberdayakan mereka dan kita semua untuk bangkit bersama menjadi manusia kurang ajar dalam menjalankan tugas keingkaran awam (civil disobedience).

 

Rujukan

Azhar Ibrahim, Bahasa dan Tantangan Intelektualisme. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre, 2014.

Kellerman, Barbara, Followership. Massachusetts: Harvard Business Press, 2008.

Kohn, Alfie, The Myth of the Spoiled Child. Massachusetts: Beacon Press, 2016.

Shaharuddin Maaruf (1993), Konsep Wira dalam Masyarakat Melayu. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre, 2014

Young-Bruehl, Elisabeth, Childism. London: Yale University Press, 2012.