1. 22 Oktober 2004
    KUMPULAN PEMIKIR MELAYU/ISLAM SINGAPURA

  2. 09 Jun 2006
    BUKU KOMPILASI ESEI ILMUWAN DITERBIT

  3. 15 Jun 2006
    APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN AGAMA PROGRESIF?


  4. 05 Februari 2007
    Yaacob: Dahaga Hussein Alatas pada ilmu, cintanya
    pada Melayu sukar ditandingi


  5. 06 Februari 2007
    Remembering a true humanist

  6. 28 September 2007
    Esei Hussein Alatas dibukukan

  7. 12 September 2009
    TAFKIR: Jurnal pemikiran sosioagama

 


22 Oktober 2004
KUMPULAN PEMIKIR MELAYU/ISLAM SINGAPURA


Singapura : 22 Oktober 2004

KUMPULAN PEMIKIR MELAYU/ISLAM MUDA


KARYAWAN GERAK AKTIF DALAM TIGA KUMPULAN:
Platform bagi belia bincang isu semasa dan tukar pandangan

Oleh
Nazri Hadi Saparin

SEKURANG-KURANGNYA terdapat tiga kumpulan pemikir Melayu/Islam di Singapura yang aktif membincangkan isu-isu semasa, termasuk isu masyarakat dan negara.

Anggota kumpulan-kumpulan tersebut, yang tidak terikat dengan sebarang persatuan, meliputi karyawan, termasuk tokoh akademik, doktor, jurutera, pegawai awam dan asatizah.

Malah, kumpulan-kumpulan itu ditubuhkan lama sebelum seruan pemerintah kepada generasi muda supaya lebih aktif membincangkan isu-isu yang menjejas mereka.

Berita Harian juga difahamkan beberapa lagi kumpulan karyawan Melayu/Islam sedang giat menubuhkan kumpulan pemikir sendiri. Salah satu kumpulan itu - The Free Floating Intellectual Group (FFIG) - giat berbincang sejak 1999.

Seperti kumpulan lain, FFIG, yang mempunyai 10 anggota, merangkumi pakar akademik, doktor, jurutera, guru dan asatizah, bermatlamat mewujudkan wahana pertemuan minda golongan muda Melayu/Islam. Dua lagi kumpulan ialah Qiblaa.net, yang ditubuhkan dalam 2002, dan The Reading Group, yang ditubuhkan pada 2000.

Seramai 12 orang anggota The Reading Group bertemu setiap minggu bagi membincangkan idea di sebalik karya tulisan pakar sastera dan akademik. Penulisan itu kemudian diterjemahkan kepada konteks kehidupan, isu-isu negara serta masyarakat kontemporari.

Perbincangan Qiblaa.net pula melibatkan lebih ramai lagi individu kerana perbincangannya berlaku di ruang siber.

Menurut pentadbir Qiblaa.net, Encik Nazry Bahrawi, pihaknya menerima lebih 500 hit bagi setiap perbincangan.

Daripada jumlah itu, 30 hingga 40 peratus aktif melahirkan pendapat dan pandangan.

Walaupun cara perbincangan dilakukan berbeza, namun matlamat ketiga-tiga kumpulan itu tetap sama: menyediakan ruang dan peluang bagi generasi muda Melayu/Islam berbincang dan bertukar-tukar pandangan. Melalui proses itu, mereka dapat dilengkapkan dengan pemahaman mendalam, lantas membolehkan mereka menyumbang lebih berkesan kepada masyarakat melalui kerjaya atau cara yang lebih rasmi.

Pentadbir FFIG, Encik Syed Adha Aljunied, berkata: 'Matlamat kumpulan kami ialah untuk menghasilkan belia berfikir yang memiliki pemahaman sosial. Individu individu ini akan menjadi anggota masyarakat yang aktif, lantas menjadikan masyarakat kita lebih baik dari segi pemikiran dan kegiatan.'

Mengalu-alukan kewujudan kumpulan pemikir di kalangan masyarakat Melayu/Islam, Menteri Negara Ehwal Luar, Encik Zainul Abideen Rashed, menggesa mereka agar tidak hanya menggunakan wadah perbincangan itu sebagai latihan intelektual.

'Kelebihan daya pemikiran mereka dalam menganalisis isu boleh dimanfaatkan dengan menghubungkannya kepada aktivis-aktivis masyarakat.

'Dengan kesinambungan itu, saranan dan idea mereka akan lebih menjurus kepada kebaikan masyarakat,' ujar beliau.

KAITAN IDEA PENULISAN DENGAN ISU SEMASA

MENGAITKAN idea di sebalik karya tulisan kepada isu-isu semasa. Itulah yang dilakukan The Reading Group, salah satu kumpulan pemikir yang ditubuhkan dan dianggotai sekumpulan karyawan Melayu/Islam. Memberi contoh, penyelaras kumpulan itu, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, 27 tahun, berkata kumpulannya membincangkan isu pendidikan melalui karya-karya cendekiawan seperti Ibnu Khaldun, Abu Hamid al-Ghazali dan Syed Hussein Alatas.

Mereka kini membincangkan tema sastera dan masyarakat dengan mengupas bagaimana idea dan pandangan disampaikan melalui karya sastera.

Encik Imran berkata kumpulan itu mengambil beberapa pendekatan kritikal dalam bacaan dan perbincangan mereka.

Menerusi proses perbincangan sedemikian, mereka berharap dapat mencetuskan penghargaan kritikal terhadap budaya intelektual Islam sambil memupuk pemikiran membina dan mencetuskan identiti budaya intelektual Melayu.

Menjelaskan matlamat kumpulan tersebut, Encik Imran berkata:

'Kami tertarik kepada dimensi sosial pelbagai isu. Kumpulan ini bukanlah sebuah pertubuhan mengkaji teologi atau membincangkan soal politik. Secara keseluruhan, kami melibatkan diri dalam dimensi intelektual.

'Anggota perlu menyampaikan idea mereka dan membuka idea itu kepada penelitian dan kritikan.'

Back to Top

 


09 Jun 2006
BUKU KOMPILASI ESEI ILMUWAN DITERBIT

Singapura : 09 Jun 2006

BUKU KOMPILASI ESEI ILMUWAN DITERBIT

Usaha sekumpulan karyawan kemuka penulisan yang
kupas isu-isu masyarakat Melayu/Islam
Oleh
Nazri Hadi Saparin

HASRAT untuk meluaskan perbincangan intelektual di kalangan masyarakat Melayu/Islam setempat mendorong sekumpulan karyawan menghasilkan buku kompilasi esei-esei kritikal ilmuwan tanah air dan sejagat.

Buku yang dihasilkan The Reading Group (RG),
sebuah kumpulan pemikir Islam setempat, juga akan
digunakan sebagai bahan dalam bengkel tiga minggu
lewat tahun ini melibatkan pelajar posmenengah,
mahasiswa dan pemimpin belia dalam satu usaha
bersama dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Bertajuk Islam, Religion and Progress, buku dalam
bahasa Inggeris setebal 185 halaman berharga $12 itu
mengetengahkan petikan esei ilmuwan seperti
Shaharuddin Maaruf, Syed Hussein Alatas dan Karl
Mannheim.

Ia juga mengandungi esei karangan editor bersama
buku tersebut yang juga pensyarah Budaya dan Bahasa Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Encik
Azhar Ibrahim Alwee, bertajuk The Making of
Progressive Religion
.

Memberitahu Berita Harian, penyelaras RG, Encik
Mohamed Imran Mohamed Taib, menjelaskan beliau dan teman-temannya berharap buku yang dihasilkan dapat mengisi ketandusan karya serta penulisan
yang mengupas secara serius isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam secara khusus dan masyarakat secara am.

RG ialah sebuah kumpulan yang bertemu setiap
minggu untuk membincangkan idea di sebalik karya
tulisan dan mengaitkannya kepada isu-isu semasa.

Menerusi proses perbincangan sedemikian, kumpulan
yang ditubuhkan pada Ogos 2000 itu berharap dapat
mencetuskan penghargaan kritikal terhadap budaya
intelektual Islam sambil memupuk pemikiran membina dan mencetuskan identiti budaya intelektual Melayu.

Buku yang terhasil itu berdasarkan karya-karya
esei yang dibincangkan RG dan dipilih selaras dengan
cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat
Melayu/Islam setempat.

'Kami mempunyai tiga matlamat. Antaranya
memperkenalkan masyarakat kepada tulisan kritikal
mengenai isu-isu agama dan kemajuan.

'Dalam pada itu, melalui buku ini kami harap dapat
menyumbang kepada pemahaman terhadap perbincangan awam mengenai agama dan akhir sekali sebagai sumbangan kami kepada pembangunan masyarakat,' ujar Encik Mohamed Imran, yang juga editor bersama buku tersebut.

Back to Top

 


15 Jun 2006
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN AGAMA PROGRESIF?


Islam, Agama dan Kemajuan. Sebuah buku baru diterbitkan di Singapura, minggu lalu, berupa bunga rampai yang menampilkan semula tulisan para pemikir terkenal mengenai agama dan kemajuan, dengan harapan mengisi ketandusan bahan bacaan yang merangsang pembahasan secara serius isu-isu yang berkaitan dengan Islam, agama dan kemajuan. Di Imej kali ini, kita melihat perlunya langkah ini;

Saat ini kekata progresif atau kemajuan menjadi satu istilah yang sering disebut ramai. Istilah ini juga muncul apabila dikaitkan dengan agama, yang juga bersangkutan dengan isu-isu keterbelakangan, kekerasan, salah fahaman dan bahkan juga ketahyulan. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan agama progresif? Mengapa kenyataan yang ada sekarang justru banyak menunjukkan sebaliknya, iaitu dengan kemunduran dan bukan kemajuan? Pertanyaan inilah yang melandasi sekelompok anak-anak muda Melayu Singapura yang memiliki minat membaca untuk menerbitkan sebuah buku sebagai sebahagian dari upaya menjawab pertanyaan itu. Mereka yang bergabung dalam The Reading Group baru-baru ini melancarkan sebuah buku bertajuk "Islam, Religion and Progress" atau Islam, Agama dan Kemajuan. Buku ini mengandungi esei-esei dari para pakar pelbagai bidang, yang diharapkan boleh menjawab pertanyaan mengenai apa sebenarnya agama yang progresif itu dan bagaimana ia boleh memanfaatkan kemajuan manusia. Encik Azhar Ibrahim Alwee, salah seorang penyunting buku Islam, Religion and Progress, menjelaskan:

"Kalau kita lihat, bunga rampai ini memilih 10 topik atau tema utama. Antara lain temanya berkenaan dengan harkat manusia atau martabat manusia, kedua fungsi agama dalam masyarakat, ketiga tentang permasalahan prejudis dalam masyarakat, keempat dinamika agama dalam masyarakat dan intelligentsia dalam masyarakat. Dan hal-hal ini yang dibicarakan dalam bunga rampai adalah sesuatu yang agak luas atau sesuatu yang sengaja diluaskan supaya apabila menyebut tentang wacana agama, ini tidak dibatasi dengan persoalan ritus atau ritual."

Buku ini memuatkan tulisan-tulisan mulai dari pemikiran mengenai agama dan integrasi sosial, rasional dan falsafah dalam Islam, bahayanya dari sikap berfikiran kuno, sikap-sikap negatif terhadap agama, sehingga ke tulisan yang berupaya menjawab pertanyaan mengenai mengapa revolusi sains tidak terjadi dalam Islam hingga ke hak wanita dalam Islam. Menurut Encik Azhar Ibrahim Alwee, ini untuk menunjukkan bahwa agama masa kini perlu terbuka dan tidak semata tertumpu pada masalah teologi atau keagamaan formal belaka:

"Islam juga terpanggil supaya perkara tentang agama dan masyarakat dibincangkan dalam lensa yang lebih luas. Dan kalau kita lihat, tradisi sosiologi ini bukan sesuatu yang asing dalam tradisi klasik Islam. Contohnya Ibnu Khaldun berbicara dalam lensa sosiologi, betapun belum ada tradisi sosiologi waktu itu."

Keberagaman ini juga nampak dari karya pemikir sosiologi yang berasal dari Jerman, di abad ke 19, Karl Manheim yang mengulas soal integrasi sosial dalam agama, serta Gordon Allport, seorang tokoh penting dalam ilmu psikologi yang mengulas soal agama dan prasangka. Namun di sisi lain juga, terdapat nama pemikir Islam kontemporari, seperti Syed Hussein Alatas yang menulis isu keterbelakangan, dan Chandra Muzaffar yang mengulas soal munculnya kesedaran keIslaman di Malaysia.

"Ketika bicara tentang agama, baik agama Islam maupun agama apa jua, keterbukaan itu diperlukan, pertama. Kedua kita memerlukan perspektif yang di tingkat universal - iaitu teoritis, dan contohnya adalah Allport dan Karl Manheim yang memberi perspektif universal sains sosial. Tapi pemilihan para pemikir lokal seperti Alatas, Shaharudin Maaruf ataupun Chandra Muzafar adalah yang spesifik lokalnya itu. Jadi ertinya, perseimbangan antara universal dan partikular. Dalam setiap wacana perlu ada keseimbangan ini."

Dalam pengantar buku itu, Encik Azhar Ibrahim Alwee menulis tentang bahayanya jika agama terjebak dalam situasi yang tidak bergerak, dan lebih parah lagi jika ia mengalami kemunduran atau kelesuan intelektual:

"Yang dimaksud kelesuan, kelesuan intelektual. Dimana kelesuan itu boleh jadi datang dari spiritual sendiri. Contohnya kelesuan intelektual apabila permasalahan dalam masyarakat dibatasi dengan adanya formula yang tetap. Contohnya permasalahan kemiskinan hanya dibicarakan: "Oh ia susah kerana ia tidak menekuni Islam dengan baik". Walhal kita tahu kemiskinan itu memerlukan suatu analisis yang lebih tuntas. Contohnya permasalahan struktural, elit dominan dan sebagainya. Jadi ini harus dibicarakan. Saya rasa kelesuan itu datang dimana masyarakat atau kepemimpinan intelektual tidak mau memikirkan hal-hal ini. Dan malahan ada yang boleh dikatakan kelesuan spiritual atau spiritual stagnation, dimana soal spiritual itu hanya berkenaan dengan ibadah, contohnya. Boleh kita bicarakan hari ini dalam wacana agama disebut emansipatori spiritual atau spiritualitas emansipatoris, yaitu spiritualitas yang membenarkan atau mengajukan supaya masyarakat keagamaan itu ambil peluang atau pertanggungjawaban untuk membasmi, contohnya, kemiskinan. Membasmi kemiskinan adalah kerja spiritual. Spiritual bukan dalam tingkat devotional saja."

Dan jika kita bicarakan soal kemajuan, perlu dipertanyakan pula kemajuan seperti apa yang diharapkan?

"Kemajuan yang diinginkan adalah keterbukaan. Bukan soal devotional saja tapi soal yang masyarakat itu hadapi. Kedua, berkenaan dengan value orientation atau orientasi nilai. Yang mahu diterapkan disini adalah bahwa seandainya kita mengakui agama mempunyai relevan dalam kehidupan, begitu juga pun agama itu harus memandu kita untuk memecahkan masalah yang kita hadapi. Mungkin agama saja tidak boleh. Tetapi antara kekuatan dalam individu dan masyarakat adalah dinamika agama itu - yang menjanjikan, pertama, kritik, iaitu harus menegur yang salah. Kedua, bertanggungjawab melakukan sesuatu, iaitu hal ibadah. Ketiga harapan, iaitu semua agama harus ada intipati harapan."

Encik Azhar Ibrahim Alwee, salah seorang penyunting buku - Islam, Religion and Progress, yang juga pensyarah di jabatan Budaya dan Bahasa Asia, Institut Pendidikan Nasional.

Tradisi intelektual dalam Islam bukanlah sesuatu yang baru. Sayangnya, tradisi intelektual ini menjadi malap bersama jatuhnya kekuatan politik Islam dan berkembangnya kekuatan imperialisme Barat. Setelah dunia Islam kembali merdeka, kelesuan ini berterusan. Jadi, sebarang usaha mengembalikan kekuatan warisan intelektual Islam, walaupun perlahan, harus dialu-alukan dan diberikan dorongan untuk berkembang. Usaha The Reading Group menerbitkan buku ini diharap dapat menyumbang kepada tujuan ini seterusnya.

Mariani Yahya di Radio Singapura Internasional, salam hormat.

Back to Top


05 Februari 2007
Yaacob: Dahaga Hussein Alatas
pada ilmu, cintanya pada Melayu sukar ditandingi

Singapura : 05 Februari 2007

Yaacob: Dahaga Hussein Alatas pada ilmu, cintanya pada Melayu sukar ditandingi

Oleh
Hisham Hambari

KOMITMEN beliau dalam mengejar ilmu serta cinta dan dedikasinya terhadap Islam, dunia Melayu dan orang Melayu sukar ditandingi.

Demikian antara sanjungan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, terhadap bekas mentor dan gurunya, Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas dalam euloginya dalam satu sesi khas mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham di Perpustakaan Negara, kelmarin.

Sesi itu dianjurkan kumpulan pemikir muda Melayu/Islam Singapura, The Reading Group, dengan kerjasama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Dalam euloginya yang dibacakan oleh penyelaras kumpulan itu, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, Dr Yaacob berkata perkara pertama yang diingatinya mengenai Allahyarham adalah sikap rasional beliau.

'Respons beliau tidak bersikap emotif tetapi rasional. Untuk memberi respons rasional, anda perlu memahami segala alasan-alasan yang diketengahkan dan anda pula perlu ketengahkan alasan-alasan untuk menyokong kedudukan anda.

'Anda perlu membaca untuk memahami sesuatu,' kata Dr Yaacob, mengimbas kembali reaksi Allahyarham terhadap tengkarah yang dicetuskan dalam tulisan Salman Rusdie, The Satanic Verses.

Allahyarham juga dikenang kerana cintanya kepada masyarakat Melayu dan keinginannya melihat masyarakat Melayu sentiasa maju.

'Kadangkala kita beranggapan beliau memarahi masyarakat kerana bersikap kebelakangan. Namun kita tidak harus bimbang terhadap sikapnya itu.

'Beliau berbuat demikian kerana cintanya yang mendalam kepada masyarakat. Beliau mahu masyarakat membangun dan progresif sambil terus berpegang pada agama dan tradisi,' kata Dr Yaacob.

Turut menyampaikan eulogi bagi Allahharyam di sesi itu adalah seorang pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Nooraisha Abdul Rahman.

Seorang pensyarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), Encik Azhar Ibrahim Alwee, pula menyampaikan ceramah yang menyingkap pemikiran dan penulisan Allahyarham.

Back to Top

 


06 Februari 2007
Remembering a true humanist

In memorium:
PROF SYED HUSSEIN ALATAS
Academic and social servant


Many remember Prof Syed Hussein Alatas not just for his intellectual prowess but also for his moral strength

by
Nazry Bahwari

ON SATURDAY, a group of young social activists from “The Reading Group” held a session to honour the passing of a great man at the National Library Board. Eulogies were read with tearful eyes. Those present knew that the gem that was lost — the eminent intellectual Professor Syed Hussein Alatas — would be hard to replace.

The former Head of the Malay Studies Department at the National University of Singapore (NUS) for 20 years died two weeks ago at his home in Damansara Heights, Kuala Lumpur, following a heart attack. He was 78.

As a thinker, Prof Syed Hussein championed a slew of progressive ideas. These include the idea of the New Malay, critiques against colonialism and insights on corruption.

The respected scholar was never one to sing to the crowds. Consider his role in the controversial issue of kidney donation for Singapore Muslims in the early 1970s, when he publicly criticised the 1974 fatwa
(religious decree) that forbade Muslims to donate their kidneys. His series of letters published in the local Malay newspaper was later collated in a book, Biarkan Buta (Let Them be Blind).

Prof Syed Hussein was also a mentor to leaders. Dr Yaacob Ibrahim, Ministerin-Charge of Muslim Affairs, fondly recalled making time to attend his lectures while he was an engineering student at NUS, even though he was not enrolled in the academic’s
classes.

A former student, Mr Zainul Abidin Rasheed, Senior Minister of State for Foreign Affairs, drew attention to Prof Syed Hussein’s crucial role in helping community leaders establish Mendaki.

“I remember the 3am meetings at his house, when despite the odds we faced, he was steadfast in advising us to tackle the problems head on, to be patient but to persevere. He was a towering source of inspiration and intellectual support.”

Mr Zainul described him as a giant thinker in the Malay sociological-intellectual world who made time to share his thoughts with his students and individuals.

Prof Syed Hussein did not confine his critique to mere theories; he was also an ardent activist.

In Singapore, he advanced the discourse on kidney donation. Across the Causeway, he delved into politics by helping form the Parti Gerakan Rakyat in 1968. Today, the party is an integral part to the
ruling Barisan Nasional alliance.

When analysing a lofty figure like Prof Syed Hussein, it is easy to lose sight of the person amidst the accolades.

A staunch family man, he never failed to show keen interest in his children’s welfare, emotions and health, said his son Professor Farid Alatas, who lectures at the Sociology Department at NUS. While he received visitors at his home, he always made sure that they came after 9pm so that he could enjoy dinner with his family.

He was a father figure to many too. “I received many condolences from others who said that he was like a father to them in the way he showed concern for their
well-being,” he told TODAY.

This writer was fortunate to have met him, and it was his strong sense of moral duty that left the deepest impression. Others shared similar sentiments about the late scholar. Said Prof Farid: “Many used to come to him for advice on personal and emotional problems. He was extremely objective and had a strong sense of fairness. They felt that they could confide in him and receive valuable counsel.”

One of those who benefited much from Prof Syed Hussein’s acumen was his cousin and good friend Habib Hassan Alattas who is Imam and head of the Ba’alwi Mosque in Singapore.

“When we were younger, I spent time with him every week. He was always encouraging. He was a very sincere man who spoke from the heart. It did not matter if you agreed with him or not. He respected
you even if you did not.”

That is the mark of a true humanist at heart.

Back to Top




28 September 2007
Esei Hussein Alatas dibukukan

Jadi sumber pengenalan kepada idea Allahyarham

by
Nazri Hadi Saparin

KOMPILASI 10 esei ilmuwan Allahyarham Syed Hussein Alatas yang dihasilkannya antara 1954 dengan 1999 telah dibukukan The Reading Group, sebuah kumpulan pemikir Melayu/Islam setempat.

Bertajuk Moral Vision & Social Critique (Visi Moral & Kritikan Sosial), esei-esei yang dipilih meliputi tema yang luas termasuk peranan elit masyarakat, falsafah pendidikan, reformasi Islam, kebangkitan budaya dan kebebasan akhbar.

Pembimbing The Reading Group dan editor bersama buku tersebut, Encik Azhar Ibrahim Alwee, berkata 10 esei itu dipilih sebagai mencerminkan isu-isu yang menjadi keprihatinan cendekiawan tersohor itu.

Allahyarham Syed Hussein, yang meninggal dunia Januari lalu akibat serangan jantung, pernah menjadi Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Esei-esei yang terkandung di dalam buku itu pernah diterbitkan di jurnal dan majalah yang kini sudah tidak lagi wujud.

Lantas, ia sukar dijumpai dan merupakan simpanan peribadi para penuntut Allahyarham. Buku yang dihasilkan dengan kerjasama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Yayasan Mendaki itu juga mengandungi prakata yang dikarang Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Menurut Encik Azhar, yang juga pensyarah di Institut Pendidikan Nasional, kumpulannya berharap perjuangan dan mesej Allahyarham, yang kekal relevan hingga hari ini, dapat dihidupkan menerusi buku tersebut.

'Esei yang kami kumpulkan adalah sebagai pengenalan kepada penulisan dan idea Allahyarham. Kebanyakan esei itu adalah karya awal beliau sebelum beliau mengembangkannya kemudian,' ujarnya.

Buku Moral Vision & Social Critique merupakan buku kedua terbitan The Reading Group menyusuli Islam, Religion and Progress - satu lagi kompilasi esei para ilmuwan setempat dan sejagat.

Berharga $20, ia akan diedarkan di pasaran tidak lama lagi.

Bagaimanapun, mereka yang berminat mendapatkan naskhah awal boleh menghubungi publications@thereadinggroup.sg atau lungsuri laman web www.thereadinggroup.sg untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Back to Top

 

BH
12 September 2009
Jurnal pemikiran sosioagama

Hasil tulisan daripada kumpulan pemikir Melayu/ Islam setempat

by
Nazri Hadi Saparin

SEBUAH penerbitan yang mengupas isu-isu agama dan kemasyarakatan secara kritikal lagi terbuka
diterbitkan oleh sebuah kumpulan pemikir Melayu/Islam setempat, The Reading Group.

Bertajuk Tafkir: Jurnal Pemikiran Kritis Keagamaan dan Transformasi Sosial, ia adalah hasil penulisan sekumpulan anak muda yang menganggotai kumpulan tersebut, selain sumbangan para peneliti dan sarjana dari rantau Asia Tenggara.

Mengandungi 10 artikel, jurnal setebal 149 halaman yang ditulis dalam bahasa Melayu itu, menyentuh aspek-aspek pemikiran agama dan reformasi sosial.

Antara topik yang diketengahkan termasuk Tradisi Kritis dalam Pemikiran Keagamaan dan Keintelektualan Muslim, tulisan Dr Azhar Ibrahim Alwee, Anggota Fellow Pelawat, Universiti Nasional Singapura (NUS); Menuju Islam Progresif: Mendialogkan Teks dan Realiti Sosial oleh M. Hilaly Basha, Pengarah Eksekutif Pusat Muslim Moderat, Jakarta; dan Dalam Lingkungan Progresif oleh Muhamad Zaki Jalil, pendidik di Kementerian Pendidikan.

Ketua editor jurnal tersebut, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata jurnal itu mengetengahkan corak pemikiran progresif yang beliau harap dapat menampung transformasi sosial ke arah pembangunan, kebebasan dan kemajuan masyarakat.

'Kami percaya bahawa jurnal ini adalah satu-satunya jurnal bertemakan pemikiran sosioagama yang khusus diterbitkan di Singapura pada waktu ini.

'Kami percaya pendedahan pembaca kepada pemikiran-pemikiran serantau yang bercorak progresif, dapat memperkaya wacana Islam setempat,' ujar beliau, yang juga aktivis The Reading Group.

The Reading Group ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda Singapura dengan tujuan menggerakkan pemikiran dan kesedaran kritis dalam meninjau isu-isu agama dan sosial.

Kumpulan tersebut menerbitkan jurnal dengan kerjasama kumpulan Leftwrite Centre sekali setiap tahun.

Tafkir: Jurnal Pemikiran Kritis Keagamaan dan Transformasi Sosial dijual dengan harga $10 senaskhah.

Mereka yang berminat mendapatkannya boleh mengirimkan e-mel kepada publications@thereadinggroup.sg.

Back to Top